Tiba-tiba sahaja masyarakat menumpukan perhatian kepada insan yang bernama wali hakim apabila isu pasangan yang telah berkahwin selama setahun dibatalkan perkahwinan mereka oleh kadi dengan alasan wali hakim yang mengahwinkan si isteri tidak layak menjadi walinya kerana dia mempunyai wali nasab, iaitu adik kandungnya sendiri (Utusan Malayia, 11 Feb. 2006).
Pasangan berkenaan diarahkan berkahwin semula. Persoalannya sekarang, bilakah wali hakim berhak campur tangan sebagai penyelesai bagi sesuatu perkahwinan?
Dalam mengulas isu ini, saya berpendapat adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan?
Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.
Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).
Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.
Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.
Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.
Setiap wali sama ada wali nasab atau wali hakim dikehendaki memenuhi syarat-syarat peribadi berikut: Seorang yang beragama Islam, lelaki, sempurna umur baligh, berakal serta waras fikirannya, bebas merdeka, bersifat adil, tidak berada di dalam ihram Haji atau `Umrah, dan tidak pula dipaksa untuk menjadi wali.
Di dalam mana-mana perkahwinan, wali nasab didahulukan menurut galur keutamaannya, bermula daripada wali aqrab, kemudiannya berpindah kepada wali ab`d.
Jika ketiadaan wali nasab (aqrab dan ab`ad) pada semua urutannya atau jika wali nasab menghadapi masalah ataupun tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan menjadi wali, maka tugas perwalian di dalam sesuatu perkahwinan akan berpindah kepada kuasa wali hakim secara mutlak.
Terdapat beberapa keadaan yang mewajibkan wali hakim� memainkan peranannya bagi menyempurnakan perkahwinan seseorang perempuan, seperti:
1. Apabila tidak terdapat wali nasab,
2. Apabila wali aqrab tidak memiliki syarat-syarat kelayakan yang sempurna di samping tidak terdapat wali ab`ad untuk menjalankan akad perkahwinan,
3. Apabila wali aqrab berada di suatu tempat yang jauh sejauh yang membolehkan sembahyang qasar,
4. Apabila wali aqrab sedang mengerjakan ihram Haji atau `Umrah,
5. Apabila wali aqrab sedang berada di dalam penjara yang tidak ada jalan untuk menemuinya,
6. Apabila wali aqrab menyembunyikan dirinya kerana tidak mahu melaksanakan perkahwinan itu,
7. Apabila wali aqrab enggan untuk melangsungkan perkahwinan itu,
8. Apabila wali aqrab hilang tidak diketahui di mana dia berada, dan
9. Apabila kedudukan seseorang perempuan itu adalah anak luar nikah.
Jika kita merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), pada perkara 7, menyebut:
(1) Sesuatu perkahwinan di Wilayah Persekutuan hendaklah mengikut peruntukan Akta ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syara` oleh-
wali di hadapan Pendaftar;
wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau
Pendaftar sebagai wali.
(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali nasab, mengikut Hukum Syara`, perkahwinan itu hendaklah di adakan hanya oleh wali raja.
Kedua peruntukan tersebut hanya menyebut wali nasab dan wali raja, tetapi siapakah wali nasab dan wali raja, tidak ada tafsiran yang dibuat, begitu juga dengan beberapa kriteria lain yang melibatkan syarat-syarat menjadi wali dan perkara-perkara yang membatalkan fungsi wali nasab yang mengakibatkan wali raja atau hakim berfungsi. Hanya disebut apabila seseorang perempuan tiada mempunyai wali nasab sahaja. Tetapi ungkapan: ketiadaan wali nasab juga perlu kepada pentafsiran. Apa yang saya sebutkan di atas adalah tafsiran-tafsiran yang saya temui di dalam pembacaan penyelidikan saya.
Mana-mana perkahwinan yang berlangsung wajib menerusi wali atau keizinannya kepada wakilnya. Justeru, kedudukan wali adalah amat penting menurut pendapat Mazhab Shafi`i.
Dr. Haji Mat Saad Abd. Rahman,
Fellow Kanan Syariah, IKIM
http://www.ikim.gov.my
Tuesday, January 5, 2010
Wali Hakim, Penyelesai Masalah Perkahwinan
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 11:01 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, apakah pernikahan saya dgn teman dithailand.. berwalikan wali hakim, dan tanpan pengetahuan wali nasab kami meneruskan pernikahan itu sah kah pernikahan itu?
Post a Comment