USTAZAH Fatimah Az Zahra dalam satu kuliah pernah menyatakan menyusu badan bukan pilihan, sebaliknya diwajibkan ke atas ibu melahirkan malah ditekankan dalam Surah An-Nisa.
Katanya, ‘muslihat’ di sebalik suruhan menyusukan hingga ke usia dua tahun itu tidak boleh dipandang ringan kerana sekiranya tidak diikuti ia mungkin memberikan implikasi buruk kepada anak atau ibu sekiranya diabaikan kerana ia undang-undang Allah.
Menemui Ketua Pegawai Eksekutif Nurturing Concepts Sdn Bhd, Rita Rahayu Omar, beliau berkata kajian sains membuktikan penyusuan badan memberikan 1,001 kebaikan kepada ibu serta bayi.
“Memberi susu ibu atau lebih mesra digelar susu badan, boleh menyebabkan kanak-kanak lebih cerdik dan lembut hati,” katanya.
Kini, faktor berkenaan sudah dapat dibuktikan dalam penyelidikan saintifik terbesar pernah dilakukan dengan menunjukkan, menyusu badan meninggikan IQ kanak-kanak.
Prof Michael Kramer dari Universiti McGill, dalam satu jurnal perubatan mendedahkan penyelidikan pihaknya menunjukkan penyusuan badan secara eksklusif dalam jangka panjang, sekurang-kurangnya enam bulan pertama sejak lahir, mampu membuatkan kanak-kanak menjadi lebih bijak.
Malah sekiranya dilihat di hospital kerajaan atau hospital mesra bayi, tertera dengan jelas mengenai hal berkenaan membuktikan usaha untuk menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan badan.
Saya ingin berkongsi fakta menarik mengenai laporan dalam majalah Archives of General Psychiatry, yang mana Prof Kramer menunjukkan keputusan selepas mengkaji 14,000 kanak-kanak selama lebih enam tahun.
Kajian dibiayai Institutes of Health Research menunjukkan jumlah bayi berusia tiga bulan yang di berikan susu ibu secara eksklusif adalah tujuh kali lebih tinggi daripada kumpulan kawalan, yang mana galakan tidak diberikan.
Keupayaan kognitif kanak-kanak di analisa dengan ujian IQ yang dikendalikan oleh doktor dan guru berdasarkan pencapaian akademik dari segi pembacaan, penulisan, matematik dan subjek yang lain.
Pada usia enam setengah tahun, kanak-kanak yang mendapat susuan ibu, memperoleh secara purata 7.5 mata lebih tinggi dalam intelek verbal dan 2.9 mata lebih tinggi dalam ujian bukan intelek verbal.
Lebih menarik, guru-guru juga mendapati kanak-kanak ini mencapai kecemerlangan akademik. Ia jelas membuktikan kesan penyusuan ibu terhadap perkembangan dan kecerdasan otak sudah lama popular dan menjadi topik hangat.
Apa yang masih dalam teka-teki kerana tidak ada penerangan jelas sama ada kebaikan menyusu itu disebabkan kandungan susu itu sendiri, atau sebenarnya kesan interaksi sosial ketika penyusuan berlangsung yang mana komponen fizikal dan emosi pada sepanjang proses menyusu itu, menjurus kepada perubahan kekal pada perkembangan otak.
Sudah terang lagi bersuluh. Mengapa masih ada segelintir ibu yang enggan menyusu anak sendiri, sementara memberi susu terbaik dan termahal harganya (atas pengaruh media barangkali) menjadi pilihan?
Alasan tidak menusabah tidak harus terpacul daripada mulut seorang ibu, walaupun Rita menyatakan orang sekeliling ‘membantutkan’ keinginan ibu menyusu badan, lempar jauh-jauh kata tidak memberi semangat itu demi kebaikan permata hati tercinta.
INFO:
Mulakan penyusuan
# Susukan bayi sebaik saja bayi dilahirkan di dalam bilik bersalin. Bayi yang berusia beberapa minit selalunya dapat mencari di mana payu dara ibu berada. Proses ini mungkin memakan masa, jadi bersabar dan cuba sedaya upaya bersama dengan bayi sepanjang masa.
# Usah terima terlalu ramai pelawat bagi membolehkan anda berdua-duaan dengan si kecil. Anda juga tentunya lebih senang dan selesa.
# Susukan selama mana yang bayi inginkan. Manfaatkan masa dengan si kecil.
# Jangan menyusukan ketika bayi anda ‘melalak’, sebaliknya biarkan reda dulu dengan mendakapnya. Bila si kecil sudah tidak menangis dengan kuat, barulah disusukan.
# Utamakan keselesaan anda ketika menyusu. Sokong bahagian belakang atau kepala dengan bantal supaya tidak lekas penat.
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
Tuesday, January 12, 2010
Permata Hati: Usah fikir dua kali beri susu badan
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 7:54 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment