Thursday, January 28, 2010

Lestari CINTA yang MAHA ESA


Hati kian meronta-ronta

ingin pergi jauh ke serantau samudera

ingin terbang bebas berterbangan merata-rata


Tapi, kebebasan tercalit dengan amanah yang tertimpa-timpa

sungguh, aku rindukan Tuhan

mengabdikan diri berasingan

agar tiada hijab menggamit perasaan


Bagaimana untuk ku tempuh sulit terpalit keseorangan

sedang diri kerdil di sisi Tuhan

lakaran ujian hidup yang tak berkesudahan

merobek hati untuk kembali padaMu Tuhan


Biarkan hati monolog sendirian

biarkan diri tersungkur dan kemudiannya bangun keseorangan

kerna ku tetap adaMu Tuhan.


Rindu, cinta yang tak pernah berkesudahan

untuk ketemuMu Tuhan,

lalu ku tunduk di birai kehidupan

menangisi kealpaan yang bisa menjauhkan ku dari rahmatMu Tuhan


Bagaimanakah diriku di hadapanMu Tuhan

Layakkah aku bergelar insan

hati sayu dihimpit penyesalan

lalu bagaimana untukku mengadapMu Tuhan?


Tuhan,

HambaMu ini hina tiada kekuatan

meminta untuk dipimpin ke birai kebahagiaan

agarku juga dalam inayahMu Tuhan


Tiada tercatat firasatku kejauhan dariMu Tuhan

mengabdikan diri tunduk kesyahduan

di manakah cinta itu harusku semat jika tidak padaMu Tuhan..

Thursday, January 21, 2010

Utamakan Pasangan Yang Tidak Merokok!


Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin mencadangkan agar wanita yang ingin berkahwin mengutamakan pasangan yang tidak merokok.

Ini berdasarkan Islam menyuruh agar memilih pasangan yang mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik, sementara merokok merupakan unsur yang mencacatkan.


Ini atas beberapa alasan;

Perokok sentiasa melakukan perkara yang ditegah oleh agama iaitu merosakkan diri. Majoriti para ulama zaman ini mengharamkan rokok.
Perokok bukan sahaja membahayakan diri, tetapi juga keluarga; isteri dan anak-anak yang akan terhidu asap beracun rokok. Sepatutnya ibubapa melindungi anak dan keluarga, bukan membahayakan mereka.

Ramai perokok yang tidak menjaga kebersihan. Bahkan rokok itu sendiri mengotorkan diri. Di samping betapa banyak tandas dan kemudahan awam lain rosak atau cacat disebabkan kesan rokok yang dihisap oleh penggunanya. Ciri yang seperti ini kurang baik bagi seseorang bapa atau ibu yang akan mengepalai keluarga dan rumahtangga.

Rokok adalah pembaziran. Ramai perokok yang ketagihan sanggup utamakan membeli rokok daripada pemintaan keluarga atau keperluan keluarga yang lain. Mereka berkira untuk perkara-perkara yang baik atau perlu, tetapi lupa diri atau ringan tangan untuk membeli sekotak rokok yang sentiasa meningkat harganya.

Merokok adalah contoh yang tidak baik untuk anak-anak. Maka perokok mencacatkan ciri-ciri keibubapaan. Justeru, ramai anak perokok turut merokok samada setelah dewasa atau sebelum cukup dewasa.

Atas alasan-alasan ini dan selainnya, maka saya menasihati umat Islam dan kaum wanita khususnya, menjadikan ‘merokok’ adalah salah satu ciri yang mencacatkan pemilihan dalam menentukan pasangan masing-masing.

Nukilan fenomena2wanita: Pilihlah pasangan yang benar-benar mengikut syariat yang telah ditetapkan, kerana pasangan kita inilah yang akan bersama kita selama-lamanya. Carilah mngikut iman di dada bukannya mengikut nafsu di jiwa. Moga pemilihan kita itu kan menguatkan kita untuk terus berada di jalan juang yang telah kita tempuhi selama ini. ~Doa yang sebaiknya~

Wednesday, January 20, 2010

MENGAPA IBU MENANGIS




Suatu ketika, ada seorang anak lelaki yang bertanya kepada ibunya. "Ibu,mengapa ibu menangis ?". Ibunya menjawab, "Sebab aku wanita." Saya tidak mengerti," kata si anak lagi. Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. "Nak, kamu memang tidak akan mengerti......"
Kemudian, anak itu bertanya kepada ayahnya. "Ayah,mengapa ibu menangis ?"

Sang ayah menjawab, "Semua wanita memang menangis tanpa ada alasan."
Hanya itu jawapan yang dapat diberikan oleh ayahnya. Lama kemudian, si anak itu menjadi remaja dan tetap bertanya-tanya, mengapa wanita menangis. Pada suatu malam, ia bermimpi dan mendapat petunjuk daripada Allah mengapa wanita mudah sekali menangis. Saat Allah menciptakan wanita, Dia membuat menjadi sangat penting. Allah ciptakan bahunya,agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya. Walaupun, bahu itu cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tidur.

Allah berikan wanita kekuatan untuk melahirkan zuriat dari rahimnya.Dan sering kali pula menerima cerca daripada anaknya sendiri......Allah berikan ketabahan yang membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah di saat semua orang berputus asa.

Wanita, Allah berikan kesabaran, untuk merawat keluarganya walau letih,sakit, lelah dan tanpa berkeluh-kesah. Allah berikan wanita, perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya, dalam situasi apa pun. Biarpun anak-anaknya kerap melukai perasaan dan hatinya.

Perasaan ini memberikan kehangatan kepada anak-anaknya yang ingin tidur. Sentuhan lembutnya memberi keselesaan dan ketenangan. Dia berikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya, melalui masa kegentiran dan menjadi pelindung baginya. Bukankah tulang rusuk suami yang melindungi setiap hati dan jantung wanita ?

Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan untuk membolehkan wanita menilai tentang peranan kepada suaminya. Seringkali pula kebijaksanaan itu menguji kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap saling melengkapi dan menyayangi.

Dan akhirnya, Allah berikannya airmata agar dapat mencurahkan perasaannya...
Inilah yang khusus Allah berikan kepada wanita, agar dapat digunakan di mana ia inginkan.

Hanya inilah kelemahan yang dimiliki wanita, walaupun sebenarnya, airmata!

" Ini airmata kehidupan."


Monday, January 18, 2010

Mereka BOLEH, lalu..bagaimana pula dengan KITA?
















Sure I can be a Khalifah,,
because Allah give time to live in this world..and give me time to perform my iman and amal only for Him.. (InsyaAllah)

Do you??


Cukup terasa bila melihat kan kesungguhan dan kecekalan mereka..bagaimana pula kita? sedikit diuji, mudahnya goyah..oh..betapa hinanya diri.

ehsan daripada: lookthink.blogspot.com

Tuesday, January 12, 2010

Permata Hati: Usah fikir dua kali beri susu badan








USTAZAH Fatimah Az Zahra dalam satu kuliah pernah menyatakan menyusu badan bukan pilihan, sebaliknya diwajibkan ke atas ibu melahirkan malah ditekankan dalam Surah An-Nisa.

Katanya, ‘muslihat’ di sebalik suruhan menyusukan hingga ke usia dua tahun itu tidak boleh dipandang ringan kerana sekiranya tidak diikuti ia mungkin memberikan implikasi buruk kepada anak atau ibu sekiranya diabaikan kerana ia undang-undang Allah.



Menemui Ketua Pegawai Eksekutif Nurturing Concepts Sdn Bhd, Rita Rahayu Omar, beliau berkata kajian sains membuktikan penyusuan badan memberikan 1,001 kebaikan kepada ibu serta bayi.

“Memberi susu ibu atau lebih mesra digelar susu badan, boleh menyebabkan kanak-kanak lebih cerdik dan lembut hati,” katanya.

Kini, faktor berkenaan sudah dapat dibuktikan dalam penyelidikan saintifik terbesar pernah dilakukan dengan menunjukkan, menyusu badan meninggikan IQ kanak-kanak.

Prof Michael Kramer dari Universiti McGill, dalam satu jurnal perubatan mendedahkan penyelidikan pihaknya menunjukkan penyusuan badan secara eksklusif dalam jangka panjang, sekurang-kurangnya enam bulan pertama sejak lahir, mampu membuatkan kanak-kanak menjadi lebih bijak.

Malah sekiranya dilihat di hospital kerajaan atau hospital mesra bayi, tertera dengan jelas mengenai hal berkenaan membuktikan usaha untuk menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan badan.

Saya ingin berkongsi fakta menarik mengenai laporan dalam majalah Archives of General Psychiatry, yang mana Prof Kramer menunjukkan keputusan selepas mengkaji 14,000 kanak-kanak selama lebih enam tahun.



Kajian dibiayai Institutes of Health Research menunjukkan jumlah bayi berusia tiga bulan yang di berikan susu ibu secara eksklusif adalah tujuh kali lebih tinggi daripada kumpulan kawalan, yang mana galakan tidak diberikan.

Keupayaan kognitif kanak-kanak di analisa dengan ujian IQ yang dikendalikan oleh doktor dan guru berdasarkan pencapaian akademik dari segi pembacaan, penulisan, matematik dan subjek yang lain.

Pada usia enam setengah tahun, kanak-kanak yang mendapat susuan ibu, memperoleh secara purata 7.5 mata lebih tinggi dalam intelek verbal dan 2.9 mata lebih tinggi dalam ujian bukan intelek verbal.

Lebih menarik, guru-guru juga mendapati kanak-kanak ini mencapai kecemerlangan akademik. Ia jelas membuktikan kesan penyusuan ibu terhadap perkembangan dan kecerdasan otak sudah lama popular dan menjadi topik hangat.




Apa yang masih dalam teka-teki kerana tidak ada penerangan jelas sama ada kebaikan menyusu itu disebabkan kandungan susu itu sendiri, atau sebenarnya kesan interaksi sosial ketika penyusuan berlangsung yang mana komponen fizikal dan emosi pada sepanjang proses menyusu itu, menjurus kepada perubahan kekal pada perkembangan otak.

Sudah terang lagi bersuluh. Mengapa masih ada segelintir ibu yang enggan menyusu anak sendiri, sementara memberi susu terbaik dan termahal harganya (atas pengaruh media barangkali) menjadi pilihan?






Alasan tidak menusabah tidak harus terpacul daripada mulut seorang ibu, walaupun Rita menyatakan orang sekeliling ‘membantutkan’ keinginan ibu menyusu badan, lempar jauh-jauh kata tidak memberi semangat itu demi kebaikan permata hati tercinta.

INFO:
Mulakan penyusuan

# Susukan bayi sebaik saja bayi dilahirkan di dalam bilik bersalin. Bayi yang berusia beberapa minit selalunya dapat mencari di mana payu dara ibu berada. Proses ini mungkin memakan masa, jadi bersabar dan cuba sedaya upaya bersama dengan bayi sepanjang masa.

# Usah terima terlalu ramai pelawat bagi membolehkan anda berdua-duaan dengan si kecil. Anda juga tentunya lebih senang dan selesa.

# Susukan selama mana yang bayi inginkan. Manfaatkan masa dengan si kecil.

# Jangan menyusukan ketika bayi anda ‘melalak’, sebaliknya biarkan reda dulu dengan mendakapnya. Bila si kecil sudah tidak menangis dengan kuat, barulah disusukan.

# Utamakan keselesaan anda ketika menyusu. Sokong bahagian belakang atau kepala dengan bantal supaya tidak lekas penat.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Thursday, January 7, 2010

Sakit Bila Datang Bulan..

Insan yang dipanggil wanita ini melalui berbagai fasa dalam hidup mereka samada dari fasa baligh,reproduktif seterusnya menopos. Yang pastinya ia tidak lepas dari pembabitan kedatangan haid bulan-bulan. ‘Datang bulan’, ‘datang kotor’ , ‘mens’ atau haid semuanya sama. Pasti tidak lengkap sekira ingin mendalami masaalah seseorang wanita tersebut, tanpa sejarah haidnya.

Pengaliran haid setiap insan wanita itu berlainan dengan yang lain. Dari segi jumlah hari aliran juga kitarannya. Yang pasti ada pula yang mengalami senggugut ataupun sebaliknya.

APA ITU SENGGUGUT?

Senggugut atau ‘dysmenorrhoea’ bermakna pengaliran haid yang sakit.

Ia merupakan masalah yang paling kerap dihadapi oleh wanita dibandingkan dengan semua masaalah sakit puan yang lain. Ia juga merupakan runggutan mereka yang mengakibatkan ketidakhadiran atau cuti sakit dari kerja, sekolah dan dari aktiviti lain. Senggugut boleh disebabkan oleh berbagai faktor.

Haid normal yang sakit ketika pengalirannya di panggil senggugut primer, sementara senggugut sekunder adalah apabila sakit setelah beberapa bermulanya haid atau sesudah haid, disebabkan oleh penyakit sistem reproduktif saperti endometriosis.

SENGGUGUT PRIMER


Senggugut primer adalah akibat dari pengecutan dinding rahim lebih kuat dari biasa untuk mengeluarkan lapisan dinding rahim yang tebal. Akibat dari itu, pengaliran darah juga terganggu lalu menambah kesakitan tersebut. Ada sebahagian wanita ‘sembuh’ dari sakit ini setelah kehamilan dan kelahiran anak.

Selalunya ia berlaku pada permulaan kitaran yang subur terutamanya pada umur awalan 20an. Walaubagaimanapun, sebarang peringkat umur boleh mengalami haid yang sakit ini.

Beberapa jam sebelum haid, atau bersama aliran darah.

Ianya selalu berlaku dengan

- rasa lenguh dan sakit di bahagian bawah perut, belakang, sesekali ke kaki. Sakit yang datang secara ‘crampy’/mencengkam atau sakit berterusan atau kedua-duanya.

Kadang-kadang ia bersama Simtom Pramensus(PMS), seperti ;

* tegang pada payu-dara

* pening kepala ,

* rasa ‘pitam’

* perut kembung

* mual(50%) dan muntah(25%).

* sembelit atau ceret-beret (35%)

* tekanan emosi; merasa letih, muram dan cepat marah

Sakit selalunya melebihi 24 jam dan berkurangan dalam satu hingga dua hari. Pada keseluruhannya apabila pengaliran haid keluar dengan lancarnya sakit pun hilang

Faktor risiko


Kalangan berikut samada satu atau keduanya adalah berisiko untuk mendapat

* Baligh awal ( umur 11 tahun atau awal lagi)

* Sejarah keluarga juga punyai senggugut

Kenapa ia berlaku?

Banyak sebab telah diperkatakan tetapi sejenis hormon ‘prostaglandin’ disabitkan dengan senggugut primer. Diantara penyebab kepada kecutan rahim ini berlaku, Prostaglandin di perolehi dengan lebih tinggi konsentrasinya pada wanita ini dan menyebabkan senggugut ini.

Kenapa ini berlaku kepada sebahagian tidak semua?

Tidak diketahui kemungkinan bersangkutan dengan pengeluaran hormon ovulasi yang konsentrasi prostaglandin lebih tinggi?

Cara Untuk Mengatasi Senggugut primer?


Tanpa ubat:

- Tekanan emosi semasa haid boleh dikurangkan dengan berehat pada hari pertama atau permulaan pengaliran haid

- ‘Tuam’ dengan sesuatu yang suam – air panas dalam beg khas/botol di bungkus dengan kain tebal yang kemudian di letak di bahagian abdomen (hot water bag) kemudian bahagian bawah berkenaan. Berhati-hati jangan terlecur

- Rajinlah melakukan senaman dan menjaga kesihatan fizikal khususnya.

* Teknik relaksasi – Banyakkan zikir, Yoga, Tai chi.

Dengan Ubat:

- sekira gagal ukuran di atas dapatkan rawatan dari klinik yang terdekat.

Ubatan penahan sakit saperti paracetamol/ Panadol

Ubat anti prostoglandin saperti ibuprofen atau ponstan

Pil perancang keluarga. Menghilangkan sakit dengan menghalang ovulasi berlaku.

Ada beberapa keadaan yang boleh meningkatkan ‘threshold’ sakit langsung memperlihatkan seolah-olah senggugut bertambah teruk. Faktor yang biasa membuat demikian diantaranya termasuk anemia( kurang darah), penyakit kronik, kerja berlebihan, stres, diabetes dan tahap nutrisi yang rendah

Penggunaan alat dalam rahim (IUD) dan senggugut.

Setelah di masukkan untuk beberapa bulan pertama kemungkinan wanita tersebut ada yang mengalami senggugut. Kebanyakan wanita ini akan terasa kurang sakit apabila IUD tersebut telah ‘serasi’ letaknya dalam rahim. Ada juga yang telah lama letak tetapi baru terasa senggugut. Sekiranya ini berlaku di nasihatkan untuk berjumpa doktor pakar untuk memastikan kedudukan alat itu. Agak kerap di dapati alat ini telah beraleh dan seakan- akan ia akan ‘terkeluar’ lalu menyebabkan rahim mengecut dengan kuat yakni senggugut.

Senggugut sekunder

Di antara penyakit termasuk

* Endometriosis – sel yang melapisi dinding rahim migrasi ke tempat lain di organ pelvik lalu menyebabkan sakit ketika haid selalu setelah pengaliran haid menyebabkan sakit yang teramat sangat

* Fibroid – ‘tumor’ atau ketumbuhan bukan barah, dari otot dan tisu yang dari dalam rahim dan di pengaruhi oleh hormon estrogen.

* Jangkitan kuman pada organ pelvic (PID). Keadaan ini sering di sabitkan dengan senggugut sekunder, tapi ada juga sebahagiannya sakitnya berterusan tidak berkaitan dengan haid langsung. Yang berkaitan, ada sangkut pautan dengan aksi prostaglandin.

Rawatan Senggugut sekunder

Ubatan – lebih kepada untuk mengurangkan sakit. Pil kontraseptif dan anti inflamatori saperti parasetamol, Cox-2, antiprostaglandin (ponstan).

Rawatan yang definitif adalah secara pembedahan. Pembedahan secara laparoskopi atau terbuka (laparotomi). Saperti fibroid dan endometriosis rawatan pembedahan adalah definitif.

Kerap berlaku apabila ultrasound jarang menghasilkan keputusan yang positif, walaupun wanita berkenaan sakit serta gejala saperti tersebut diatas. Di sini adalah perlu untuk wanita tersebut untuk melalui rawatan laparoskopi diagnostik untuk menentukan puncanya dengan melihat lebih dekat penyebab senggugut itu. Adakalanya dengan cara ini biopsi, rawatan membakar sel-sel endometriosis itu boleh di lakukan sekali.

Komplikasi

Komplikasi dari senggugut sekunder bergantung kepada penyebabnya. Sekira jangkitan kuman pada system pelvic, boleh meyebabkan kesan lekatan(scar) pada tiub fallopian dan menganggu system reproduktif. Kesan boleh mengakibatkan kandungan ektopik. Yakni kandungan luar rahim.

Endometriosis pula boleh mengakibatkan kemandulan atau menggangu kebolehan untuk mengandung.

Ramai memperkatakan yang senggugut berkaitan dengan kegagalan untuk mengandung atau ketidaksuburan( infertiliti).

Entiti ini tidak benar. Selagi penyebabnya tidak dipastikan, sebab majoriti senggugut adalah senggugut primer yang normal.

Di era bioteknologi ini berbagai ramuan dari para herbalist juga perawat kecantikan akan mengemukakan berbagai petua termasuk ramuan untuk mengurangkan sakit. Perlunya kajian saintifik dilakukan untuk menentukan bahan yang boleh mengurangkan sakit itu. Mungkin juga ramuan tersebut ada bahan anti prostaglandin, anti inflamatori dan sebagainya. Asalkan ia tidak di campuradukkan dengan ramuan yang memudaratkan sekira di gunakan pada jangkamasa yang panjang.

Tidak terlepas perbincangan sekira tidak di perkatakan tentang penyakit yang berkaitan dengan senggugut sekunder.

Terutamanya Endometriosis.

Endometriosis adalah sejenis



endometriosis dapat di lihat di bahagian yang bertanda
Paparan terbaik adalah dalam Internet explorer 8 atau Mozila Firefox
Informasi
Bermula 1 Jun 2009 Al-Islam Specialist Hospital telah memulakan operasi bagi Klinik Pesakit Luar di bangunan baru yang dikenali sebagai 'Out-Patient Centre". Walaubagaimanapun, Bangunan asal akan kekal beroperasi sebagai bangunan Inpatient . Sekian, harap maklum.


- Dr Norlida bt Hj Kairon

~Wanita dan Rama-rama~


Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda,warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.

Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan.

Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar, indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan.

Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.

Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.

http://helwaisiukm.blogspot.com/

Tuesday, January 5, 2010

Wali Hakim, Penyelesai Masalah Perkahwinan




Tiba-tiba sahaja masyarakat menumpukan perhatian kepada insan yang bernama wali hakim apabila isu pasangan yang telah berkahwin selama setahun dibatalkan perkahwinan mereka oleh kadi dengan alasan wali hakim yang mengahwinkan si isteri tidak layak menjadi walinya kerana dia mempunyai wali nasab, iaitu adik kandungnya sendiri (Utusan Malayia, 11 Feb. 2006).

Pasangan berkenaan diarahkan berkahwin semula. Persoalannya sekarang, bilakah wali hakim berhak campur tangan sebagai penyelesai bagi sesuatu perkahwinan?

Dalam mengulas isu ini, saya berpendapat adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan?

Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.

Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.

Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.

Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.

Setiap wali sama ada wali nasab atau wali hakim dikehendaki memenuhi syarat-syarat peribadi berikut: Seorang yang beragama Islam, lelaki, sempurna umur baligh, berakal serta waras fikirannya, bebas merdeka, bersifat adil, tidak berada di dalam ihram Haji atau `Umrah, dan tidak pula dipaksa untuk menjadi wali.

Di dalam mana-mana perkahwinan, wali nasab didahulukan menurut galur keutamaannya, bermula daripada wali aqrab, kemudiannya berpindah kepada wali ab`d.

Jika ketiadaan wali nasab (aqrab dan ab`ad) pada semua urutannya atau jika wali nasab menghadapi masalah ataupun tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan menjadi wali, maka tugas perwalian di dalam sesuatu perkahwinan akan berpindah kepada kuasa wali hakim secara mutlak.

Terdapat beberapa keadaan yang mewajibkan wali hakim� memainkan peranannya bagi menyempurnakan perkahwinan seseorang perempuan, seperti:
1. Apabila tidak terdapat wali nasab,
2. Apabila wali aqrab tidak memiliki syarat-syarat kelayakan yang sempurna di samping tidak terdapat wali ab`ad untuk menjalankan akad perkahwinan,
3. Apabila wali aqrab berada di suatu tempat yang jauh sejauh yang membolehkan sembahyang qasar,
4. Apabila wali aqrab sedang mengerjakan ihram Haji atau `Umrah,
5. Apabila wali aqrab sedang berada di dalam penjara yang tidak ada jalan untuk menemuinya,
6. Apabila wali aqrab menyembunyikan dirinya kerana tidak mahu melaksanakan perkahwinan itu,
7. Apabila wali aqrab enggan untuk melangsungkan perkahwinan itu,
8. Apabila wali aqrab hilang tidak diketahui di mana dia berada, dan
9. Apabila kedudukan seseorang perempuan itu adalah anak luar nikah.

Jika kita merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), pada perkara 7, menyebut:

(1) Sesuatu perkahwinan di Wilayah Persekutuan hendaklah mengikut peruntukan Akta ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syara` oleh-
wali di hadapan Pendaftar;
wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau
Pendaftar sebagai wali.

(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali nasab, mengikut Hukum Syara`, perkahwinan itu hendaklah di adakan hanya oleh wali raja.

Kedua peruntukan tersebut hanya menyebut wali nasab dan wali raja, tetapi siapakah wali nasab dan wali raja, tidak ada tafsiran yang dibuat, begitu juga dengan beberapa kriteria lain yang melibatkan syarat-syarat menjadi wali dan perkara-perkara yang membatalkan fungsi wali nasab yang mengakibatkan wali raja atau hakim berfungsi. Hanya disebut apabila seseorang perempuan tiada mempunyai wali nasab sahaja. Tetapi ungkapan: ketiadaan wali nasab juga perlu kepada pentafsiran. Apa yang saya sebutkan di atas adalah tafsiran-tafsiran yang saya temui di dalam pembacaan penyelidikan saya.

Mana-mana perkahwinan yang berlangsung wajib menerusi wali atau keizinannya kepada wakilnya. Justeru, kedudukan wali adalah amat penting menurut pendapat Mazhab Shafi`i.


Dr. Haji Mat Saad Abd. Rahman,
Fellow Kanan Syariah, IKIM
http://www.ikim.gov.my

Monday, January 4, 2010

Kahwini Janda di Melaka dapat RM1,000

http://www.utusan.com.my
MELAKA 4 Jan. - Seorang lelaki, Abdul Halim Abdullah, 38, bukan sahaja mendapat isteri, malah turut memperoleh 'durian runtuh' apabila menerima hadiah wang tunai RM1,000 kerana mengahwini seorang ibu tunggal beranak dua, Ai'sah Ayub, 42.

Abdul Halim yang merupakan bapa tunggal beranak dua mendirikan rumah tangga dengan Ai'sah yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pada 5 Jun tahun lalu.

Mereka menjadi pasangan pertama di negeri ini mendapat hadiah wang tunai RM1,000 yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Hadiah itu adalah sebagai ganjaran kepada bapa tunggal atau lelaki bujang yang mengahwini ibu tunggal di negeri ini sejak program itu dilancarkan tahun lalu.

Menurut Ai'sah, dia tidak menyangka akan menerima bantuan tersebut, apatah lagi menjadi penerima pertama sejak MAIM memperkenalkan bantuan bagi membela nasib ibu tunggal sepertinya.

''Saya sendiri pun tak tahu ada ganjaran RM1,000 diberikan oleh MAIM kepada mana-mana lelaki yang mengahwini janda.

''Selepas bercerai, saya tidak sangka bertemu jodoh dan berkahwin buat kali kedua.

''Alhamdulillah. Wang ini akan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan perjalanan merawat anak sulung yang menghidapi sakit jantung di Kuala Lumpur," katanya dalam keadaan sebak.

Ai'sah menerima bantuan itu pada majlis penyampaian sumbangan kebajikan golongan OKU dan warga emas oleh MAIM di Planetarium Melaka, Ayer keroh di sini, hari ini.

Sumbangan berupa wang tunai dan hamper kepada 40 warga emas dan OKU itu disampaikan Ketua Menteri yang juga Pengerusi MAIM, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Ai'sah yang bercerai dengan suami pertamanya pada 1997 berkata, dia berasa bertuah kerana dilamar suami keduanya walaupun sekadar bekerja sebagai buruh kasar.

Menurutnya, cinta mereka berputik setelah suaminya itu banyak mengorbankan masa menjaganya di hospital akibat penyakit saraf yang dideritainya tiga tahun lalu.

"Saya harap, selepas ini ada lagi lelaki budiman yang sanggup mengahwini ibu tunggal untuk membela nasib golongan itu," katanya.



Tinta fenomena2wanita.blogspot.com:
Usaha murni MAIM ini wajar diteruskan..

Miniey kini Kembali


Salam Mahabbah buat semua wanita di luar sana...

Perit, sakit, pedih..tercucuk menanggung rindu..tapi kini sedikit terubat.. Terubat bila mana terhasilnya wajah baru pada gelanggang untuk kita membuka pencat bicara.

Baru saya tahu betapa sakitnya nak ubah wajah, biarpun hanya wajah teratak yang tak seberapa ni. Saya kira mungkin dah akan tersungkur akan mati, namun kian bernafas semula walaupun nafasnya seakan-akan sesak dan semakin sesak.. Moga tenang..biarpun perlahan, dan perlahan dalam mengorak langkah.

Macam-macam terjadi..hanya itu yang saya boleh katakan..
Dalam tempoh berkabung, sakit rupanya.

Sedikit dijentik, kita dah pun dah nak goyah, tersungkur. Padahal..tanpa kita sedar Allah amat menyayangi kita..DIA jentik kita dengan ujian kesakitan sedikit sahaja, tapi kita dah pun lemah.. Huh, manusia.. Ingatlah, nikmat kesihatan dah banyak kita rasakan. Tapi mungkin juga kifarah, segala2nya tanda kasihNYa pada kita.. Allahu Rabbi..banyaknya kenikmatan yang kami rasa di alam fana' ini.

Buat teman-teman yang sentiasa sudi singgah, saya mohon ampun dan maaf kerana lama menyepi..

Lama berdiam diri..

Lama menghilangkan diri..

Bukan kerana apa..hanya untuk islahkan diri..

Islah, islah..

Ya, siapalah kita untuk menghukumi diri..

Apapun saya masih sayangkan fenomena2wanita.blogspot ini. Gelanggang pena yang banyak ditiupi inspirasi, dari seorang yang amat saya kasihi. Justeru, mana mungkin ia akan terkubur begitu sahaja tanpa ada sisipan buat para wanita perkongsian dari diri. Hinanya terasa, tapi terus gah..bersemangat kerana kita sentiasa ditemani Ilahi. dan buat yang menyayangi..terima kasih untuk segalanya.

InsyaALLAH

Daisypath Wedding tickers