Monday, April 12, 2010

Belajar daripada Keterlanjuran


KAMI datang dengan harapan, kami pulang dengan kejayaan. Itulah moto Kompleks Dar-Assa'adah (KDS) yang kini sedang memberikan perlindungan dan bimbingan kepada seramai 37 gadis bermasalah. KDS yang beroperasi di Kampung Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu, hakikatnya menyimpan rahsia pelbagai peristiwa hitam para penghuninya.

Tina (bukan nama sebenar) tidak menyangka tempoh dua tahunnya sudah sampai ke penghujung. Dia akan keluar pada minggu ini.

Itulah detik keramat dalam diri Tina, kerana dia kini bukan Tina dulu tetapi Tina yang baru.

Kalau dahulu, Tina mudah termakan pujuk rayu lelaki tidak bertanggungjawab. Sekarang sudah tidak lagi, kerana Tina sudah tahu batasan agama, mana yang baik, mana yang buruk, mana dosa dan mana pahala.

Tambahan pula, air mata keinsafan ketika berdua-dua dengan Allah SWT dalam setiap solat lima waktu dan sujud tawaduk ketika solat sunat taubat, tahajud, hajat dan istikharah, telah menjadi kekuatan buat Tina menempuh masa depan yang lebih mencabar.

"Bohonglah kalau saya katakan saya tidak gementar. Sebenarnya, bermacam-macam perasaan bermain dalam benak saya ini. Namun, wajah comel anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang ibu serta harapan menggunung keluarga, telah mengembalikan semangat diri saya.

"Saya tidak mahu lagi kecewakan ibu. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Saya mahu menjadi anak yang bertanggungjawab dan dapat berbakti kepada orang tua yang telah banyak berkorban selama ini.

"Malah, kini saya telah bergelar ibu kepada bayi lelaki yang tidak berdosa. Saya mesti pastikan anak itu terbela dan terpelihara masa depannya. Saya tidak mahu lagi lakukan kesilapan yang bodoh itu," cerita Tina anak kelima dari tujuh adik-beradik yang berasal dari Negeri Sembilan itu.

Berkongsi kisah hitam lebih dua tahun lalu, Tina tidak menyangka teman sekerja lelaki sanggup meletakkan bahan yang telah membuatkannya tidak sedarkan diri, sebelum melakukan perbuatan terkutuk ke atas dirinya.

Selang beberapa bulan sejak insiden itu, Tina dapat merasakan yang dia sudah berbadan dua, namun merahsiakannya kerana bimbang dengan penerimaan keluarga, terutamanya ibu.

Namun, lama-kelamaan perutnya semakin membesar dan sukar disembunyikan. Lantas dia pergi ke pejabat agama dan meminta dirujuk ke mana-mana pusat penjagaan untuk wanita mengandung luar nikah.

Menjejakkan kaki di KDS dengan keazaman untuk berubah dan mendalami agama demi persediaan mengharungi masa depan, memudahkan penghijrahan diri Tina sepanjang dua tahun di KDS.

"Saya lebih kenal Allah SWT. Segala apa yang dilakukan di sini adalah perkara-perkara yang bermanfaat. Pada sebelah malam pula, diisi dengan ceramah agama, mengaji al-Quran dan solat malam.

"Kalau dahulu, saya cuma tahu pergi kerja, balik kerja tetapi di sini saya sudah tahu menjahit dan insya-Allah akan menjadikan bidang ini kerjaya tetap bila keluar kelak dan cukup modalnya," katanya.

Nasihat Tina agar gadis-gadis di luar sana lebih berhati-hati apabila berkawan dengan lelaki kerana kita tidak tahu niat sebenar mereka.

Sementara itu, Linda, 25 tahun, (bukan nama sebenar) pernah berusaha membunuh bayi yang tidak berdosa ketika usia kandungannya antara tiga hingga enam bulan.

Kata gadis kelahiran negeri di selatan tanah air itu lagi, dia sanggup minum air tapai, makan jamu dan makanan yang tajam-tajam dan berbahaya bagi wanita mengandung, dengan harapan janin tersebut akan jatuh.

"Semuanya kerana saya bertemu semula dengan bekas kekasih saya. Saya cuba larikan diri daripadanya tetapi tidak berjaya. Tambah memburukkan keadaan, bila saya disahkan mengandung anak daripada benihnya. Selama lapan bulan saya cuba sembunyikan kandungan.

"Bila emak suruh pulang ke kampung, pelbagai alasan yang saya berikan, semuanya gara-gara takut rahsia saya terbongkar. Namun, apabila ayah jatuh sakit, saya sudah tidak ada cara lain untuk mengelak. Saya pulang tetapi berusaha menyembunyikannya, waima ibu mula curiga.

"Apabila kembali semula ke rumah sewa, saya macam hendak gila memikirkan keadaan saya yang semakin genting. Saya bagai hilang arah. Saya hubungi ibu menerusi telefon dan akhirnya membuat pengakuan. Sayangnya, pengakuan itu tidak meringankan tetapi tambah membebankan," kata Linda yang mula mendaftarkan diri di KDS pada Ogos 2008.

Akui Linda, pesanan ibu sebelum pulang selepas menghantarnya ke KDS menjadi azimat dan pegangannya sampai bila-bila. Kata ibu: "Sebelum emak balik, emak tidak buang awak. Anggaplah duduk di sini sebagai belajar".

"Banyak hikmah yang saya peroleh di sini. Saya sudah boleh melakukan hafalan, tilawah dan tadarus. Sesungguhnya, banyak baik daripada buruk sepanjang berada di sini.

"Saya hendak mula hidup baru, buka buku baru. Saya ingat kata-kata emak dan ayah. Saya tidak mungkin akan kembali semula kepada teman lelaki, kerana dia sendiri pernah memberi kata dua kepada saya iaitu keluarga atau dia. Cincang air tidak akan putus, saya pilih keluarga.

"Bagaimanapun, Allah mungkin telah memberi pengajaran paling bermakna kepada saya. Ketika melahirkan, saya terpaksa bertarung sembilan hari sembilan malam kerana bersalin secara pembedahan. Saat itu, barulah saya sedar betapa besarnya pengorbanan insan bernama ibu," kata Linda yang melahirkan anak lelaki pada Oktober 2008.

Didikan agama yang diperoleh Anum (bukan nama sebenar) sehingga tahap Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak menjamin keselamatan diri seseorang dalam berhadapan kerakusan jenayah sosial yang tidak mengenal mangsanya.

Sekali alpa, selamanya kita terpaksa menanggung dosa yang dilakukan. Walaupun bukan atas kerelaan diri atau termakan tipu daya syaitan yang bertopengkan manusia.

"Sambutan kemerdekaan negara mencatat detik hitam kepada saya. Apa tidaknya, kerana terlalu percayakan kawan baik yang dikenali sejak di bangku sekolah, akhirnya mahkota diri saya diragut jantan durjana. Saya dikhianati teman sejenis.

"Malangnya, semua perbuatan keji itu dilakukan ke atas saya ketika saya sendiri tidak sedarkan diri. Perkara akhir yang saya ingat, saya minum air mineral yang diberikan teman itu tadi. Selepas itu, dunia saya gelap.

"Sedar pada paginya, saya di dalam bilik seorang teman perempuan yang juga turut sama meraikan detik kemerdekaan itu. Saya cuma rasa sakit di bahagian alat sulit dan ada kesan darah di seluar dalam. Tetapi tidak terlintas langsung, yang saya sebenarnya telah diperkosa," cerita Anum, anak sulung daripada empat adik-beradik.

Kata gadis kelahiran negeri Melaka ini lagi, sejak kejadian itu dia mula tidak datang haid. Pada awalnya, perubahan itu dianggap biasa kerana memang tidak mengesyaki dirinya mengandung.

"Tetapi apabila perut semakin membesar, nenek cuba merasa perut saya. Dia kata saya mengandung. Apa lagi, seluruh ahli keluarga terkejut. Saya dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan kehamilan tersebut dan usia kandungan saya sudah masuk lima bulan.

"Saya minta keluarga hantar saya ke mana-mana pusat. Pada bulan Februari 2009 saya mula mendaftar sebagai pelatih KDS dan empat bulan kemudian melahirkan bayi perempuan. Bayi itu sekarang berada dalam jagaan keluarga saya.

"Saya tidak pernah menyalahkan bayi tersebut. Sebaliknya, saya berharap pengajaran yang saya lalui ini dapat menjadi iktibar kepada gadis di luar sana agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan," kata Anum yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang perbualan kami, lewat petang itu.

Nita (bukan nama sebenar), 20, gadis yang berasal dari Pahang ini sedang mengandung empat bulan memberitahu dia melakukan perbuatan terkutuk itu atas dasar suka sama suka dengan pasangan yang dikenali sejak di sekolah menengah lagi.

Apa yang dilakukan ini mungkin satu tanda memberontak terhadap bapanya yang tidak mahu membenarkan mereka berkahwin dengan alasan usia yang masih terlalu muda.

"Saya sebelum ini pernah dimasukkan ke sebuah rumah khas untuk gadis-gadis yang terlanjur tetapi ia tidak bertahan lama kerana pengisian agamanya amat kurang dan kebajikan gadis-gadis di situ tidak terbela langsung.

"Alhamdulillah, sungguhpun belum sebulan tinggal di KDS, jiwa saya tenang. Kawan-kawan pun ramai serta banyak bimbingan dan motivasi yang disalurkan, secara tidak langsung membuat saya rasa tidak terasing," kata Nita yang berazam mahu mendalami al-Quran di KDS.

Oleh ZUARIDA MOHYIN
http://lhakim-suarahati.blogspot.com

Kalam Fenomena2wanita: Aku sedih melihat bayi2 dibuang begitu sahaja, aku sedih melihat manusia semakin 'menderita', pautan nafsu yang semakin meraja..di mana IMAN kita. Andai pernikahan jalan sebaiknya, bernikahlah. Jangan biarkan nafsu2 kita dihambat penghasutan syaitan.

Nah, syaitan semakin bermaharaja lela.."Pelihara lah iman dan nafsu kami, kurniakanlah hamba-hambaMu ini kekuatan..amin"

0 comments:

InsyaALLAH

Daisypath Wedding tickers