Saturday, August 1, 2009

Siapakah Suami Teladan ITU??

Dikatakan suami teladan adalah suami yang memiliki kelebihan dalam masalah kebenaran dan keterusterangan sejak awal ia menjalinkan hubungan dengan calon isterinya. Sejak dia meminang calon isterinya, ia sudah memberitahukan tentang kondisi dirinya, iaitu dengan apa yang ada padanya anpa merahsiakan atau menyembunyikan sesuatu apapun yang biasanya tidak disenangi oleh wanita terhadap kaum lelaki. Rasulullah s.a.w bersabda;

Seseorang lelaki yang rambutnya dikilatkan hitam, bila meminang seorang wanita hendaklah memberitahu kepada wanita tersebut bahawa rambutnya hitam kerana dikilatkan.
(Riwayat Ad Dailami)

Nah, wahai para lelaki, hatta kepada perkara yang sedemikian pun Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk dikhabarkan, inikan pula perkara yang lain yang seumpama dengannya. Dengan kata lain suami teladan adalah suami yang bergaul dan memperlakukan isterinya dengan baik, lemah lembut, menghargai serta memuliakan isterinya, keluarga dan juga harta.

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلى ما أكرم النساء إلأ كربم ولا أهانهن إلا لئيم.

“Sebaik-baik kaum yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluarga. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah yang mulia, dan yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.”(Riwayat Abu Assakir)

Dengan kata lain suami teladan adalah suami yang suka bersenda gurau dan beramah tamah dengan dengan isterinya. Yang suka memberi hak hiburan serta kesenangan yang wajar bagi isteri melalui berbagai cara sesuai dengan kemampuan yang dimilikinya, seperti berekriasa bersama, pandai dalam berkomunikasi, pergi bersama dengan maksud ziarah, menghadiri kenduri atau lain-lain pesta yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita boleh lihat pada kehidupan Rasulullah bersama keluarga baginda sendiri bagaimana.

Hendaklah diingat wahai para lelaki, suami teladan adalah suami yang tidak terlau cemburu. Apatah lagi jika cemburu tersebut berunsurkan pada praangka semata-mata. Kalian juga tidaklah selalu mengintip-intip isteri, ini kerana sikap yang sedemikian akan dapat mengendurkan ikatan cinta yang telah terjalin serta mampu mengeruhkan lagi kehidupan suami isteri. Justeru itu, suami hendaklah meletakkan kepercayaan penuh, serta senantiasa menjauhi perbuatan apa sahaja yang dapai menodai kehormatan dan harga diri suami.

Rasulullah s.a.w bersabda;

إن من الغيرة غيرة يبغضها الله عزوجل وهى غيرة الرجل على أهله من غير ريبة.

“Sesungguhnya di antara (sekian banyak) cemburu ada cemburu yang dibenci Allah Azza Wajalla, iaitu cemburunya lelaki terhadap isterinya tanpa alasan.” (Riwayat Daud An-Nasa’I dan Ibnu Maajah)

Pun begitu tidaklah kita katakan di sini bahawa cemburu itu langsung tidak perlu ada dalam diri seseorang suami akan tetapi hendaklah dikawal dan dalam batasan. Ada satu contoh yang perlu untuk kita teladani. Muadz r.a telah melihat isterinya memberi pembantunya yang lelaki sebiji epal, padahal sebahagian daripadanya telah digigit isterinya. Muadzr.a tidak membenarkan perbuatan isterinya itu, kerana itu dapat menimbulkan khayalan dan bayangan dari pembantunya terhadap mulut dan bibir isterinya.

Kecemburuan Muadz r.a yang seperti itu jelas dapat kita fahami di sini beralasan pada tempatnya bahkan merupakan satu keharusan bagi seorang suami berbuat demikian apabila isteri tersilap atau tersalah dalam melakukan sesuatu perkara. Kita boleh kuatkan lagi ulasan di sini dengan sabda Rasulullah s.a.w;

ثلاث قد حرم الله عليهم الجنة, مدمن الخمر والعاق لوالديه والديوث الذي يقر الخبث في أهلهز

“Tiga orang telah diharamkan bagi mereka (masuk) syurga, iaitu orang yang selamanya peminum arak, orang yang menderhakai kedua orang tuanya, dan orang yang rela kehormatan keluarganya diganggu (dinodai) orang lain.”

Berdasarkan pada sebutan addayuts di sini ia dimaksudkan sebagai lelaki atau perempuan yang membiarkan kehormatan keluarganya diganggu dan diinjak-injak oleh orang lain.

Suami teladan adalah suami yang selalu bertutur kata dengan sopan dan mempunyai hikmat, memakai bahasa yang lembut dan beradab pada isterinya, menghargai pendapatnya dan akan melaksanakan dengan senang hati bila yang dikatakan itu ternyata kebaikan dan kebenaran.

Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang baik untuk kita. Dalam peristiwa Hudaibiyah yang membawa kebaikan dan keselamatan bagi kaum Muslimin ternyata ia adalah dari apa yang baginda laksanakan daripada pendapat salah seorang isteri baginda yang mulia yakni Ummu Salamah.

Selain itu juga, antara sifat seorang suami teladan adalah suami yang memberi nafkah untuk keluarganya dengan asas keseimbangan, tidak boros dan juga tidak kikir. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” (Surah ath-Talaq ayat 7)

Rasulullah s.a.w bersabda:

Satu dinar (wang) yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan budak, satu dinar yang kamu sedekahkan untuk orang miskin, satu dinar yang kamu belanjakan untuk keluargamu, maka yang paling besar pahalanya adalah yang kamu belanjakan untuk keluargamu.
(Riwayat Muslim)

Seorang suami yang berpakaian indah, memakan makanan dan minuman yang sedap maka hendaklah pula untuk memberikan perkara yang serupa buat isteri sebagai pendamping hidupnya. Adalah tidak makruf dilihat jika sekiranya seorang suami bersuka ria dengan kenikmatan yang Allah kurniakan kepadanya berkeseorangan tanpa mempedulikan isterinya. Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Apa hak isteri kepada kita?”

Nabi s.a.w menjawab: “ Memberi makan jika kamu makan, memberinya pakaian jika kamu berpakaian, jangan memukul wajahnya, dan janganlah menjauhinya kecuali di rumah.”
(Riwayat Abu Daud)

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya hak mereka (isteri-isterimu) atas kamu adalah mendapat perlakuan baik dari kamu sekalian dalam urusan pakaian dan makan minum.”

(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Sementara itu, apa yang paling penting dalam melayari hubungan suami isteri, untuk menjadikan seorang suami teladan, suami juga hendaklah pandai dalam menghias diri. Hendaklah selalu berada dalam keadaan kemas dan rapi dan tidak lupa juga untuk selau memakai wangi-wangian sehingga apa yang dilihat oleh isterinya dalam dirinya dari segi zahir mahupun yang tersembunyi adalah baik-baik sahaja. Jangan diharapkan isteri sahaja untuk berhias pada suami, akan tetapi suami juga harus berperanan sedemikian. Masing-masing ingin tunjukkan yang terbaik untuk pasangan, maka terpancarlah sinar kebahagian dalam hidup berumahtangga. Maka di sini tidaklah wujuk apa yang dikatakan sebagai ‘orang kedua’.

Sebagaimana yang dirawatkan bahawa seorang lelaki berambut kusut dan berpakaian kotor datang bersama isterinya menghadap Khalifah Umar Ibnul Khattab r.a. isterinya berkata sambil menunju sang suami.

“Ya Amirul Mikminin, tidak aku dan tidak dia,” ertinya dia minta cerai.

Umar r.a memahami kebencian wanita tersebut terhadap suaminya. Lalu suami itu disuruhnya mandi sampai bersih, mencukur sebahagian rambutnya dan memotong kukunya.

Setelah selesai melaksanakan perintah khalifah, dia datang kembali dan disuruhnya mendekati isterinya. Betapa terkejutnya sang isteri lau menjauhkan diri kerana merasakan ada lelaki asing menghampirinya. Namun setelah yakin itu adalah benar-benar suaminya maka disambutnya dengan gembira, diterimanya dan sekaligus dibatalkan terus niatnya yang sudah terucap untuk meminta cerai.

Umar r.a berkata: “Berbuat demikianlah terhadap isteri-isterimu. Demi Allah mereka gembira bila kamu berhias diri untuk mereka sebagaimana kamu senang bila mereka berhias dan berdandan untukmu.” Sedarlah kita melalui ibrah daripada peristiwa tersebut betapa pentingnya kebersihan diri.

Suami teladan adalah suami yang selalu memelihara penampilannya sebagai seorang lelaki, tidak terlalu berlebihan dalam hal sikap dan nafsu, dan juga tidak terlalu lemah dan menyerah sehingga menyebabkan runtuhnya kewibawaan serta harga dirinya sebagai lelaki.

Akhir sekali apa yang boleh kita simpulkan di sini adalah bersandarkan kepada firman Allah s.w.t:

Wa’asyiruhunna bilmakruf
“dan bergaullah dengan mereka secara baik.”
(Surah an-Nisa’ ayat 19)

Walaupun arrijal itu qawwamun ke atas wanita, akan tetapi itu bukanlah bermakna dia hebat selaku ketua, akan tetapi betapa besarnya tanggungjawab yang harus dipikul oleh seseorang lelaki terhadap kaum wanita. Jika tidak terlaksana hal yang sedemikian maka, goyahlah kami….

0 comments:

InsyaALLAH

Daisypath Wedding tickers