Saban hari kita dengar pelbagai kes perceraian yang berlaku serta permasalahan dalam sesebuah rumah tangga. Walhal, kebanyakkan penyatuan yang terbina adalah atas rasa kasih dan cinta antara kedua-dua pasangan. Sudah menjadi lumrah dalam hidup berumahtangga, diri pasti diuji dan kan terus teruji. Ironinya suamilah yang berperanan penting dalam mengemudikan isteri dan keluarga ke arah kebahagiaan.
Dalam kisah ini, tragisnya apabila ia melibatkan anak menantu dan mertua. Justeru, baik lelaki mahupun wanita yang ingin melangkah ke alam rumahtangga ini, mereka haruslah mempunyai kemahiran dan mempelajari bagaimana untuk mengambil hati mentua dan keluarga pada pasangan masing-masing. Kerana perlulah diingat perkahwinan yang dibina bukanlah antara kita dan pasangan sahaja akan tetapi melibatkan kita dengan ibu ayah dan ahli keluarga pasangan juga.
Sebagai seorang lelaki, kepatuhan dan ketundukan mereka kepada kedua ibu bapa tidakkan terhenti setelah melangkah ke alam perkahwinan, akan tetapi bagi seseorang anak perempuan, setelah sah disunti oleh seorang lelaki yang bergelar suami maka secara automatiknya mereka wajib taat dan mengikuti segala perintah suami. Jadi, janganlah si suami melebihkan isterinya sahaja namun berlaku adillah agar tidak melukakan hati mana-mana pihak lebih-lebih lagi si anak itu bergelar 'anak emak'..
Kisah yang dititip daripada Menantumu Mertuamu, www.iluvislam.com, kelopak_mawar
Editor:afdhal87 yang telah diemelkan oleh UMMU MUKHLIS moga menjadi penghayatan buat kita semua bahawa perkahwinan bukanlah mudah seperti apa yang diperkatakan namun menjadi indah andai ikatan yang terbina itu terbit dari rasa kasih kerana ALLAH Yang Esa..Moga Redha Allah sentiasa bersama kita.
“Mama letihla uteh..”
“Semua anak-anak mama tak nak dengar isi hati mama..”
“Bila anak-anak mama balik boleh naik darah tinggi mama ni..”
Pelbagai ungkapan kata-kata daripada mulut mungil mama kudengar semenjak aku pulang daripada bercuti. Mama mama. Rindu sebenarnya mahu mendengar celoteh seorang ibu ini, sebab itulah aku mengambil keputusan tidak mahu mencari kerja sambilan pada cuti semester ini seperti cuti-cuti yang lalu, ditambah lagi dengan kesibukan pelbagai program yang aku ikuti menyukarkanku sekiranya aku bekerja sambilan. Untuk mengelakkan kebosanan, aku duduk di rumah sambil melayan karenah adik-adikku yang masih kecil juga anak saudaraku yang masih merah di buaian.
Suatu hari, ketika aku baru pulang daripada mengikuti program di luar daerah, aku lihat raut letih mamaku.Tentu sekali letih menguruskan rumah sepanjang hari ditambah karenah anak-anak yang semakin nakal. Letihnya menjadi seorang ibu. Aku yang baru sahaja menyandang gelaran tidak rasmi itu semenjak bercuti juga turut berasakan betapa penat dan lelahnya. Ya, terlalu penat sebenarnya. Sebab itulah kadang-kadang mama beremosi, mungkin mahu melampiaskan kepenatan dan tekanan yang dilalui mama hari-hari di rumah. Tetapi, aku kagum dengan ketabahan mama mendidik kami, menguruskan kebajikan ayah dan rumah tangga. Sangat teliti. Ah, mama, pengorbananmu itu sukar untukku balas.
“Mama kecil hati uteh..”
Suatu hari mama meluahkan perasaannya padaku sewaktu kami sama-sama duduk beristirahat. Waktu itu, hanya aku dan mama. Adik-adikku keluar mengikut ayah ke bandar.
“ Menantu tak sama dengan anak…”
oh, itu rupanya yang menyebabkan mama kerunsingan dan bersedih hati. Pastinya hati mama terluka. Aku sebagai anak yang rapat dengan mama cuba berkongsi masalah hati yang melanda wanita kesayanganku ini.
“Mama anggap semua anak dan menantu mama sama, tapi entahlah… Kadang abang kamu tu lebihkan isteri daripada mama..”
Ini punca mama bersedih dan berkecil hati. Mama rasa tersisih daripada kasih sayang seorang anak yang dijaga dan ditatang selama ini setelah anak mama berkeluarga. Rumit untuk aku rungkaikan masalah mama kali ini kerana aku belum pernah mengalaminya. Aku belum berkeluarga. Mungkin sekali perspektifku berbeza dengan mereka yang mengalaminya. Aku masih setia mendengar luahan hati mama. Bagiku kini, menjadi seorang pendengar yang setia kini adalah jalan yang paling terbaik bagi situasiku dengan mama. Walau tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya aku dapat mendengar masalah mama. Jika mama memendam perasaan lagilah akan membahayakan kesihatan mama yang menghidap hypertension.
Mama menyatakan rasa kurang senangnya melihat abangku kini senantiasa melebihkan hal isteri berbanding dengan permintaan mama. Jika mama berkirim sesuatu dengan abang, abang selalu sahaja lupa atau terlewat memenuhi permintaan mama tetapi jika isterinya, sekejapan sahaja permintaan itu ditunaikan. Ah, bagaimana caranya untuk aku jernihkan hubungan mereka ini. Aku khuatir, seandainya abang secara tidak sedar mengguris hati mama dengan cara seperti ini, lama-kelamaan hati mama akan terluka teruk dan jadilah abang di antara ahli-ahli yang tidak dapat mengecap nikmat syurga lantaran melukai hati seorang ibu. Na’uzubillah!
Aku cuba membelai hati mama dengan kata-kata manis bagi meredakan kemarahan mama. Lantas diceritakan kisah sahabat Rasulullah S.A.W yang telah menerima azab sewaktu menghadapi sakaratul maut lantaran telah mengecilkan hati si ibu tua dengan melebihkan sedikit sahaja perhatian kepada isterinya daripada ibunya sedangkan beliau seorang yang sangat abid, taat dan merupakan sahabat nabi S.A.W. Mama hanya mendengar sahaja cerita, namun kutahu, mama mengerti maksud yang ingin disampaikan. Kukatakan lagi bahawa sesungguhnya darjat seorang ibu itu terlalu tinggi sehinggakan seandainya ibu dan ayah memanggil secara serentak, hendaklah dahulukan panggilan ibu dahulu barulah ayah.
Perbincanganku bersama ibu terhenti di situ setelah ayah dan adik-adikku pulang. Aku tahu hati seorang ibu ini terlalu sensitif. Aku khuatir kerana kelalaian abangku yang sedikit cuma tapi mampu menghindarkan dirinya daripada menjejakkan kaki ke taman-taman yang dijanjikan Khaliq buat yang taat menunaikan perintahnya. Laman sesawang kubuka seusai solatku di tengah malam. Waktu inilah waktu yang paling sesuai untukku mencari dan menelaah beberapa perkara yang kurang kufahami memandangkan waktu siangku agak terganggu dek kenakalan adik-adikku dan tugas sampingan lain yang kulakukan.
Aku membaca satu artikel berkenaan luahan seorang suri yang terasa hati dengan mentuanya yang dikatakan terlalu mengambil hal-hal peribadi mereka sedangkan anak lelakinya itu telah berkeluarga. Setiap hari si isteri menjeruk rasa melihat si suami sentiasa melebihkan ibunya berbanding dirinya. Ah, masalah yang sama cuma berlainan situasi. Abangku melebihkan isteri dan membuatkan mama berkecil hati, kisah ini pula si isteri menjeruk rasa memandangkan si suami sentiasa mengikut kata ibu. Kubaca pula pandangan seorang moderator tentang masalah yang dihadapi oleh si isteri ini. Aku cuba aplikasikan dengan permasalahan yang dihadapi oleh mamaku kini. Nah, nyata permasalah yang sama walaupun situasi berbeza tetapi insya-Allah boleh diselesaikan dengan cara yang sama.
Aku cuba menggunakan penyelesaian ini untuk merungkaikan masalah hati mamaku ini. Alhamdulillah, kini mama tersenyum dan semakin mesra dengan menantu-menatu mama yang merangkap kakak-kakak iparku sehingga kadang-kadang mama melebihkan mereka berbanding diriku. Mama pun tidak segan silu untuk menegur seandainya kakak iparku melakukan kesilapan serta tidak lokek berkongsi ilmu dengan menantu-menantu mama. Aku tersenyum puas dengan perubahan ini.
“Betullah Uteh… Orang kata dekat bau tahi, jauh bau bunga..”
Aku tersenyum cuma mendengar ungkapan mama. Hati seorang ibu, terlalu sensitif tetapi jika kena dengan caranya, Insya-Allah hati itu mampu kita jaga. Kini, mama tidak lagi berkecil hati dengan menantu-menantu mama, malah hampir saban minggu abang-abangku akan membawa keluarga mereka bertandang ke rumah mama dan ayah. Makan bersama-sama dan solat jemaah bersama-sama. Alangkah indahnya situasi seperti ini.
Syukur, rupa-rupanya langkah yang diambil dahulu telah membuahkan hasil yang amat manis. Untuk mengelak permasalahan hati mama dengan menantunya, aku cuba berdiplomasi dengan abangku bagaimana cara untuk membina sebuah institusi keluarga yang bahagia. Tidak lupa diselitkan kisah-kisah tauladan yang boleh menjadi pedoman buat abang. Mungkin abang juga berfikir demi masa depan sebuah kelurga yang baru sahaja dibina dan juga ukhuwah kekeluargaan kami ini, abang memohon restu mama dan ayah untuk berhijrah daripada rumah mama dan ayah dengan alasan untuk berdikari.
Pada mulanya, mama sukar untuk melepaskan abang lantaran khuatir abang semakin melupai mama namun disisipkan kata-kata perangsang buat mama agar meyakini keputusan yang abang lakukan buat keharmonian keluarga kami bersama. Tak lupa juga dimohon mama mengiringi doa penghijrahan abang agar abang menjadi seorang khalifah yang adil dan saksama bagi memimpin keluarga yang baru dibinanya berlandaskan syariat islami.
Kini, tiap kali aku pulang bercuti tiada lagi rungutan dari mama, tiada lagi rintihan hati seorang ibu yang memendam rasa. Yang kudengar hanyalah pujian dan ungkapan rindu kepada anak-anaknya. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doa kami sekeluarga.
Buat pasangan yang mengalami permasalah seperti yang keluargaku alami ini, sebelum berkeluarga penuhilah diri dengan ilmu munakahat terlebih dahulu agar tidak terjadi permasalahan di antara menantu dan keluarga mentua. Jalinkan ukhuwah kekeluargaan berdasarkan syariat islami, insya-Allah ukhuwah yang terjalin pasti diredhai.
:: Seeloknya buat bakal suami ( atau yang sudah menyandang gelaran ini) , ketahuilah apa yang wajar dan tidak wajar untuk dilakukan demi kemashlahatan bersama.
:: Buat isteri juga yang bakal bergelar isteri, jagalah tingkah lakumu, jika suamimu lupa, jadikanlah dirimu sebagai pengingat yang setia, supaya kelak kau kan sama-sama mendapat manfaatnya.
SELAMAT BERBAHAGIA
Tuesday, June 16, 2009
Menantu VS Mertua
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 3:46 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment