Natrah
Wanita hidap leukemia pernah jadi mangsa konflik agama pada 1950 
LONDON: Natrah Maarof atau Bertha Hertogh, wanita yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, meninggal dunia akibat leukemia semalam di rumahnya di Huijberhen, di selatan Belanda, pada usia 72 tahun.
Menurut anak bongsunya, Silvija Wolkenfelt, 38, Natrah tidak akan dikebumikan kerana permintaan terakhirnya untuk menderma mayatnya bagi tujuan penyelidikan di Hospital Rotterdam.
Menerusi perbualan telefon, Silvija berkata, "Sepanjang umurnya dia melakukan apa yang orang lain mahu dan ini ialah pilihannya sendiri, amat penting bagi kita menghormati permintaan terakhirnya."
Menurut kenyataan akhbar, Natrah menjadi berita utama akhbar seluruh dunia dalam 1950 apabila dia menjadi punca pergelutan antara bapanya dengan ibu angkatnya di Malaysia.
Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun 1942 di Indonesia.
Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan kepada Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia. Ini dilakukan tanpa pengetahuan bapanya. Natrah dibesarkan sebagai seorang Islam.
Natrah ialah nama yang diberi Aminah. Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Aminah membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu dengan bapanya dan kemudian dimasukkan ke Girls Homecraft Centre di York Hill.
Aminah membuat rayuan mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Dia kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.
Bagaimanapun pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah dikembalikan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Inilah punca rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera. Dengan keputusan mahkamah ini, dikhuatiri Natrah akan dimurtadkan.
Selepas dipaksa pulang ke Belanda, Natrah memulakan hidup baru dan hanya pulang ke Malaysia pada 1999 buat pertama kali untuk merakamkan sebuah dokumentari mengenai hidupnya oleh televisyen Belanda.
Natrah berkata, zaman kanak-kanak satu-satunya masa dia betul-betul bahagia.
Bagi kebanyakan orang, dia masih ikon perjuangan melawan imperialisma British dan satu contoh akan apa perbezaan agama boleh akibatkan.
Sebuah filem berjudul Natrah kini sedang diusahakan di Singapura, Malaysia dan Belanda. Filem ini adalah dari sudut pandangan Natrah mengenai kejadian yang mengakibatkan rusuhan dan bagaimana dia menjadi mangsa konflik agama dan kolonialism.
Filem ini diarah oleh Ben Sombogaart yang dikenali menerusi filem seperti Twin Sisters dan Bride Flight yang dijangka ditayangkan pada 2010.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib, yang bertemu Natrah di majlis hari jadinya yang ke 72, 24 Mac lalu, Natrah kelihatan sungguh gembira.
"Majlis hari jadinya bertemakan Malaysia dan Indonesia. Semua orang memakai baju Melayu. Dia begitu seronok bercakap mengenai masa dia membesar di Malaysia," kata Fauziah.
Daripada Zaharah Othman
bhnews@bharian.com.my
Sisipan Penulis:
Sebenarnya bila membaca keterangan tentang kematian Natrah ni, penulis teringat di zaman belajar Diploma Undang-Undang dulu. Untaz penulis, Ustaz Naziree md. Yusof selalu tekankan kesnya kerana melibatkan hal ehwal agama Islam. Apabila kita soroti sejarah yang berlaku pada insan yang bernama Natrah ini, keinsafan menyelubungi diri.
Sahabat penulis, Atiqah md. Azhar pernah 'menghadiahkan' ilmu melalui buku yang menceritakan perihalnya pada penulis yang berjudl 'ATAS NAMA CINTA'..cukup tragis.
Pun begitu, itulah kesudahan hidup insan yang bernama Natrah...
Di sini disertakan serba sedikit perihal Natrah..
Natrah atau Nadra Maarof adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.
Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter. Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel.
Susur galur kehidupannya..1937
24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.
28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu petikan]
Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.
Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.
[sunting]
Friday, July 10, 2009
Natrah Hertogh meninggal dunia
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 2:41 AM 0 comments
Tuesday, June 23, 2009
PERSEDIAAN AWAL IBU MENGANDUNG

Wednesday, December 17, 2008 Posted by Bait Muslim UnitY
artikel ihsan dari: perkahwinan.com.my
Pengalaman mengandung sulung bagi sesetengah ibu amat menyeronokkan dan bagi sesetengah ibu yang lain pula, mungkin mendatangkan masalah dan dibelenggu perasaan takut, kerana perubahan yang ketara dari segi fizikal dan mental. Ibu yang mengandung seharusnya membuat persediaan rapi dalam menghadapi saat-saat kehamilan. Ini bagi memastikan kesihatan diri dan kandungan berada dalam keadaan yang baik. Selain itu, suami juga perlulah memberikan sokongan kepada isterinya agar si isteri tidak menghadapi tekanan dalam tempoh kehamilannya.
Kesan-kesan Semasa Kehamilan.
Dalam tempoh kehamilan, si ibu memerlukan rehat yang cukup bukan sahaja dari segi fizikal malah mental. Mental yang terganggu akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada badan juga anak di dalam kandungan. Pada waktu ini anda tidak digalakkan melakukan kerja-kerja berat. Satu jam selepas makan tengah hari, anda digalakkan berbaring dan membaca bahan bacaan yang ringan. Rehatkan fikiran anda dengan melakukan kerja-kerja yang ringan seperti menjahit, menyulam dan sebagainya.
Dalam proses pembesaran bayi dalam kandungan, si ibu akan merasakan lenguh di bahagian kaki. Bahagian betis, peha dan jari-jari kaki akan terasa sakit dan adakalanya ia boleh menyebabkan kebas atau kejang. Sakit seperti ini biasa berlaku di kalangan ibu yang mengandung. Oleh itu, para ibu tidak perlu takut jika ia sekali sekala menyerang anda.
Semasa mengandung, kulit di bahagian perut dan payudara akan menjadi tegang, ini kerana anak di dalam kandungan yang semakin membesar. Ketegangan kulit di perut dan payudara akan menyebabkan ia kering dan gatal. Bagi mengelakkan kekeringan kulit, ibu-ibu digalakkan menyapu bahagian yang kering itu dengan baby oil atau minyak zaitun. Ibu-ibu juga diingatkan supaya tidak menggaru kulit yang kering itu kerana ia akan memudaratkan.
Pada 12 minggu pertama kehamilan, payudara akan mula membesar. Ini kerana proses pembentukan susu dan adakalanya payudara akan membengkak. Tetapi ia boleh diatasi dengan penjagaan yang lebih teliti. Perkara asas yang perlu dititikberatkan adalah pemakaian anak baju. Anak baju yang paling sesuai ialah daripada jenis kapas berbanding nylon, kerana ia berupaya menyerap udara.
Anda dikehendaki memakai anak baju setiap masa apabila usia kandungan menjangkau lapan bulan. Pada waktu inilah payudara memerlukan penjagaan yang paling baik. Payudara perlu ditampung setiap masa pada waktu ini. Bagi ibu yang mengandung sulung, anda akan dapati puting susu akan mengeluarkan sejenis cecair, iaitu ‘coloestrum’. Jangan risau, kerana itu adalah bahan permulaan untuk mengeluarkan susu. Jika anda berasa tidak selesa, lapikkan payudara anda dengan kain dan tukarlah ia apabila telah basah.
Menurut seorang pakar Neurosains, Prof. Dr. Haji Azizan Haji Ismail, ibu yang mengandung adalah tidak digalakkan meminum minuman yang berkafein seperti Nescafe atau kopi. Hal ini akan menyebab tumbesaran anak di dalam kandungan terganggu. Makanan yang mengandungi alkohol dan karbohidrat (roti, kentang, gula dan cokelat) juga perlu dielakkan. Makanan berkhasiat seperti telur, ikan, keju, daging dan hati perlu diambil ketika mengandung. Buah-buahan seperti limau, pisang, betik, tembikai, dan sebagainya juga baik untuk dimakan. Minumlah susu sebanyak mungkin kerana ia mempunyai kalsium yang baik untuk anda dan anak anda.
Dalam tempoh kehamilan, si ibu memerlukan rehat yang cukup bukan sahaja dari segi fizikal malah mental. Mental yang terganggu akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada badan juga anak di dalam kandungan. Pada waktu ini anda tidak digalakkan melakukan kerja-kerja berat. Satu jam selepas makan tengah hari, anda digalakkan berbaring dan membaca bahan bacaan yang ringan. Rehatkan fikiran anda dengan melakukan kerja-kerja yang ringan seperti menjahit, menyulam dan sebagainya.
Mungkin ramai ibu yang tertanya-tanya adakah boleh melakukan persetubuhan semasa mengandung? Dari segi kesihatan, hal ini tidaklah menjadi masalah pada awal kehamilan, cuma apa yang perlu difikirkan adalah caranya menyenangkan anda dan pasangan anda.
Pada empat minggu terakhir kehamilan, anda tidak digalakkan melakukan persetubuhan. Ini kerana dalam tempoh ini anda memerlukan rehat yang cukup. Tidak salah jika ia perlu dilakukan, tetapi ia akan menyebabkan anda merasa sakit. Sebaik sahaja melahirkan anak, persetubuhan haruslah dielakkan sekurang-kurangnya enam minggu. Ini membolehkan bahagian-bahagian kelahiran untuk berehat dan pulih seperti sediakala.
Rujukan:
a) Anis, “Bimbingan Keluarga”, Ciptaan Jiwaseni Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1996.
b) Ceramah yang disampaikan oleh seorang pakar Neurosains, Prof. Dr. Haji Azizan Haji Ismail, dalam seminar Ceria, Cerdik dan Cemerlang.
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 2:39 AM 0 comments
Monday, June 22, 2009
Bertunang janji murni ke arah penuhi Sunnah

Batas hubungan pasangan belum bernikah perlu dijaga bagi elak perbuatan zina
PERTUNANGAN bertujuan memberi kesempatan kepada lelaki dan perempuan lebih mengenali diri serta keluarga masing-masing, bukan tiket untuk bergaul mesra seumpama suami isteri yang sah kerana perhubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan tertentu.
Oleh itu, bagi pasangan muda mudi yang masih di alam percintaan atau pertunangan perlu menjaga batas hubungan ditetapkan agama. Jika mereka melakukan hubungan seks sebelum bernikah,mereka sudah melanggar batasan agama melarang perbuatan zina.
Berdasarkan hukuman Islam, mereka yang melakukan zina boleh dihukum 100 kali sebat bagi individu yang belum bernikah, dan direjam dengan batu bagi mereka yang sudah bernikah.
Mereka yang sudah mampu dan bersedia dari segi mental, fizikal serta mempunyai keyakinan daripada aspek ekonomi perlulah menyahut seruan agama untuk bernikah atau mendirikan rumah tangga.
Amalan menangguhkan perkahwinan atau pernikahan tidak digalakkan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga perkara jangan dilewatkan, iaitu solat apabila sampai waktunya, jenazah apabila siap diuruskan untuk dikebumikan dan wanita yang belum bersuami, tetapi sudah ada calon sesuai." (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)
Larangan menjauhi perbuatan menjurus kepada zina termasuk berdua-duaan lelaki dan perempuan banyak diingatkan dalam firman Allah sebagai dalil yang perlu diberi perhatian disebabkan kesannya yang boleh membawa kehancuran serta masalah besar.
Antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan mendatangkan keburukan." (Surah al-Israk, ayat 32)
Diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar, Ali Jabir bin Abdullah, Abu Sanid Al-Khudri, Abu Hurairah, Zaid bin Khalid, Buraidah al-Aslam, bahawa seorang sahabat nabi bernama Masiz dihukum rejam oleh pengawasnya sendiri bahawa ia berzina.
Begitu juga dua perempuan dari Bani Kakhim dan Bani Khamid yang dijatuhi hukuman rejam di atas pengakuan berzina.
Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah kepada orang yang beriman, hendaklah kamu menahan pandangan mereka serta memelihara kemaluan mereka." (Surah an-Nur, ayat 31)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak akan berbicara dengan Allah pada hari kiamat, dan Allah juga tidak akan memandang mereka dan akan mendapat azab yang pedih iaitu, lelaki tua yang berzina, pemimpin yang berbohong dan orang miskin yang sombong." (Hadis riwayat Muslim)
Banyak lagi dalil memberi amaran serta mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina. Ini perlu diingatkan dan didedahkan kerana dapat dilihat budaya masyarakat hari ini, majlis tunang ibarat majlis pernikahan.
Jika dulu, majlis pertunangan hanya dihadiri ahli keluarga atau wakil pihak lelaki untuk berbincang dengan keluarga perempuan, tetapi hari ini si jejaka turut hadir sama, malah bergambar dalam suasana menimbulkan fitnah kepada orang ramai.
Majlis pertunangan kini berubah seakan majlis persandingan apabila kedua-dua lelaki dan perempuan yang hanya baru diikat dengan kata janji untuk disatukan, dibenarkan duduk bersebelahan sambil disaksikan keluarga.
Mungkin restu yang diberikan ahli keluarga menyebabkan pasangan bertunang lupa akan batasan yang perlu dijaga hingga ada yang setiap hari berjumpa malah, ada juga yang dibawa pulang untuk bermalam di rumah ibu bapa.
Sebagai pihak yang bertanggungjawab, ibu bapa sepatutnya membimbing pasangan yang bertunang supaya menjaga hubungan itu mengikut syariat agama sehingga mereka sah disatukan sebagai suami isteri kerana tempoh bertunang ialah masa untuk mereka memahami satu sama lain.
Jika dilihat, pasangan bertunang agak bebas dalam pergaulan, sebaiknya ibu bapa serta keluarga menyegerakan upacara pernikahan kerana itu lebih baik daripada membiarkan mereka terus terjebak dengan tingkah laku menyalahi ajaran agama.
Agak menyedihkan apabila tingkah laku anak muda hari ini tidak dipedulikan ibu bapa yang menganggap adalah sesuatu yang biasa untuk membenarkan mereka sering berjumpa atas alasan supaya lebih mengenali.
Sudah diberi amaran jelas akan perkara itu dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kamu berseronok-seronok atau berdua-duaan dengan wanita, kerana yang ketiga itu adalah syaitan." (Hadis riwayat at-Tabrani).
Seriusnya supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan hubungan intim lelaki dan wanita, Rasulullah SAW bersabda bermaksud yang bermaksud: "Lebih baik seseorang lelaki berdekatan dengan binatang bernajis yang berlumuran lumpur daripada ia berdekatan bahunya kepada wanita yang tidak halal baginya." (Hadis Riwayat at-Tarbrani).
Hormati ikatan pertunangan dengan menjadikannya sebagai janji murni ke arah memenuhi Sunnah Rasulullah SAW untuk membina keluarga yang dilimpahi perasaan kasih sayang dan kesejahteraan. 
Tinta penulis: Sebagai manusia yang berfikiran waras, terpulanglah kepada kedua-dua pihak samada ingin melangkah dengan ikatan pertunangan terlebih dahulu ataupun terus melangsungkan ikatan perkahwinan. Sebaik-baiknya, janganlah terlalu lama dalam mengikat janji pertunangan kerana buruk kesudahannya. Bagi yang beranggapan kahwin terus tanpa pertunangan itu lebih baik, penulis bersetuju..mudahkanlah segala urusan, dahulukanlah yang mana wajib..andai hati sudah bertaut pasti..
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 1:31 AM 0 comments
Wednesday, June 17, 2009
WANITA merokok????
Saban hari banyak di dada-dada akhbar melaporkan tentang peningkatan jumlah remaja wanita merokok sejak beberapa tahun kebekalangan ini. Ia amat membimbangkan dan mungkin nisbah remaja wanita yang merokok berbanding lelaki menjadi 1:1 dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, berbanding 1:4 sekarang.
Kajian pada baru-baru menunjukkan 29 peratus remaja lelaki merokok tetapi apa yang lebih menggerunkan ialah kadar perokok di kalangan remaja wanita melonjak hampir dua kali ganda iaitu daripada 4.8 peratus kepada lapan peratus dalam masa tiga tahun.
Melaka (Malaysia) – Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, bilangan wanita yang merokok di Malaysia semakin meningkat dengan kadar peningkatan agak mendadak di kalangan gadis remaja. Kadarnya melonjak hampir dua kali ganda daripada 4.8 peratus kepada 8 peratus dalam tempoh kajian selama tiga tahun.
Sekadar gambar hiasan
Kalau zaman dahulu kala, masa kita di alam kanak-kanak kita sering melihat hanyalah wanita-wanita tua yang tak pernah lekang dari puntung rokok daun mereka. Namun kini sebaliknya berlaku pada anak-anak muda perempuan. Sungguh menjelekkan apabila ada yang tak segan silu menghisap rokok di khalayak umum. Bukan itu sahaja mereka ini ada yang masih dalam berpakaian sekolah.
Wanita andai merokok, kesannya amat besar lebih-lebih lagi jika mereka itu sedang mengandung. Kerencatan pada janin akan berlaku dan ini boleh menyebabkan kematian. Banyak faktor yang membawa kepada mengapa wanita itu merokok, justeru pelbagai langkah haruslah diambil bagi mengekang permasalahan ini.
"
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 6:37 AM 0 comments
Tuesday, June 16, 2009
MENCARI JODOH ATAU MENUNGGU JODOH???
Oleh: Abi Muslih dan Mama Farhah
“Jodoh ditangan Tuhan, apa boleh buat”
“Bukan saya tak mahu kawin, belum jodoh lagi!”
“Apa nak susah-susah kalau dah rezeki nanti, adalah yang datang meminang”
“Takkanlah perigi nak cari timba?”
Dialog di atas tak asing bagi kita. Baru-baru ni seorang pengunjung bergelar sinar mengemukakan komen berikut kepada kami:
first time sy masuk laman ni ,…ape pun nak cari jodoh dan apakah pergertian sebenar jodoh itu…
Beliau juga memberikan komen:
akum,
selalu sangat berbicara mengenai isu calon suami dan isteri … sy minta di adakan isu kenapa jodoh masih tiada…..ini adalah untuk ramai anak -anak gadis yang masih belum bertemu jodoh walaupun telah berusaha ke arah itu……apakah maksud ketentuan atas jodoh,ajal dan maut. Moga dengan ini dapat melegakan hati gadis-gadis (ardartu) untuk terus bertawakal……..
Ya, soal jodoh adalah satu soal yang amat kritikal dalam membina rumahtangga yang bahagia. Masalah jodoh ini bukan sahaja disebut-sebut oleh orang belum berpunya, bahkan ada juga yang telah berkahwin masih keliru dan bingung dalam soal jodoh ini.
Ramai orang kita yang beranggapan soal jodoh ini adalah satu ketentuan yang tidak perlu diusahakan. Bagi mereka rezeki, jodoh dan ajal di tangan Allah, dan manusia hanya perlu pasrah. Lantas mereka terus ‘bertawakkal’ mengikut fahaman yang tidak tepat.
Sahabat besar sayyidina Umar Al-Khattab pernah menangis melihat satu kumpulan jemaah haji dari Yaman yang datang tanpa menyediakan bekalan makanan. Umar menegur dan membetulkan tindakan mereka yang silap dalam memahami konsep tawakkal.
Umar bertanya: Siapakah kamu?
Rombongan Yaman itu menjawab: Kami adalah al-mutawakkilun (orang-orang yang bertawakkal kepada Allah).
Umar menjawab: Kamu sebenarnya al-muta’akkilun (orang-orang yang mengharapkan diberi makanan). Orang yang sebenar-benar bertawakkal ialah orang yang menabur benih di bumi, kemudian bertawakkal kepada Allah.
Nah, itulah jawapannya.
Kisah diatas tentang rezeki. Sama juga dengan jodoh. Jika rezeki perlu diusahakan, maka jodoh juga perlu diusahakan. Jika Ummul Mukminin Khadijah berikhtiar dengan menghantar orang untuk menyatakan hasrat untuk mengahwini Nabi, maka takkan lah wanita hari ini yang lebih terbuka tak berani untuk menyatakan hasrat kepada pihak lelaki secara terhormat begitu.
Itu jika sudah ada pilihan. Jika belum ada, usahakan lah dengan membuat tinjauan dan membuat senarai pendek secara sendirian. Kemudian, teliti dengan penuh hemah dan jangan lupa untuk bersolat istikharah. Jika kenalan dan maklumat terhad, mintalah bantuan dari rakan dan keluarga yang diyakini, berakhlak dan boleh diharap. Jika ada banyak pilihan, pilih lah yang memenuhi sifat yang pernah saya bincangkan dulu. Jangan pula terlalu gopoh sehingga tersilap pilih.
Moga lepas ini para anak-anak dara (andartu) dan bujang (terlajak) tidak mengambil sikap ‘menunggu jodoh’, tetapi bertekad untuk ‘mencari jodoh’. Kami doakan moga permudahkan jalan.
Selamat Berusaha!
Posted by EMANIEZ-ELFARDI at 10:00 AM 0 comments
